
30,000 BANJIRI STADTHUYS SEMPENA PRA-PELUNCURAN WTD 2025
BANDA HILIR 7 Julai – Dianggarkan hampir 30,000 pengunjung membanjiri perkarangan Stadthuys, Banda Hilir sempena sambutan Pra Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Melaka Bila Larut Malam edisi Julai, pada Sabtu lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, jumlah itu direkod berdasarkan Crowd Monitoring System sepanjang program itu berlangsung.
Malah, katanya, sewaktu kemuncak pra-peluncuran itu kira-kira jam 9 malam, data merekodkan kehadiran seramai 15,000 pengunjung di lokasi tumpuan tersebut.
“Berdasarkan Crowd Monitoring System, tidak kurang daripada 15,000 pengunjung telah datang menyaksikan sambutan Pra-Peluncuran WTD sekitar jam 9 malam.
“Saya menjangkakan kehadiran pengunjung itu terus meningkat malah saya yakin sehingga jam 3 pagi, kalau ikutkan lebih 30,000 telah membanjiri perkarangan Stadthuys,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Santunan Kasih Anak-Anak Yatim di Harbour Street Pulau Melaka, semalam.
Sementara itu, ditanya mengenai persediaan WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC), beliau memaklumkan MBMB telah melakukan persiapan rapi daripada segi keceriaan bandar dan pencahayaan bagi menyambut kedatangan 159 delegasi luar negara.
“Untuk makluman persiapan kita sudah hampir 90 peratus untuk menerima kehadiran delegasi pelancongan dunia yang akan berkampung di Melaka ini pada 27 hingga 29 September nanti,” katanya.
Terdahulu, Majlis Pra-Peluncuran WTD 2025 telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di perkarangan Bangunan Stadthuys, Sabtu lalu.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri; duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.