
MELAKA LAKAR LEBIH 100 PENCAPAIAN PENTING
AYER KEROH 7 Julai – Kerajaan Negeri telah melakar lebih 100 pencapaian penting yang mencorak landskap pembangunan dan kemajuan negeri dalam pelbagai bidang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya berpaksikan kepada falsafah kerja berteraskan slogan kepimpinannya, ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.
“Di sebalik slogan ini terangkum 11 tonggak nilai dan prinsip kepimpinan yang membentuk budaya kerja pentadbiran negeri menerusi akronim ‘B.I.J.A.K dan B.E.R.A.N.I’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr. Roslan Hussin; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Tambah Ab Rauf, sejak menerajui pentadbiran negeri, beliau telah memperkenalkan beberapa pendekatan baharu yang wajib dipatuhi penjawat awam dalam memperkukuh integriti dan menyemai semangat kenegaraan.
“Antara pendekatan itu adalah mewajibkan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya di semua pejabat kerajaan setiap pagi Isnin., mewajibkan bacaan surah Al-Fatihah setiap hari dan sebelum memulakan mesyuarat rasmi.
“Selain itu, melarang penggunaan telefon bimbit ketika mesyuarat rasmi, memastikan kaunter perkhidmatan kerajaan kekal beroperasi semasa waktu rehat melalui sistem penggiliran kakitangan,” katanya.
Menurut beliau, semangat dan dasar yang baik tidak akan bermakna jika tidak diterjemahkan dalam tindakan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Justeru, saya juga memperkenalkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) iaitu satu inisiatif julung kali dilaksanakan di Malaysia yang memperkukuh hubungan antara rakyat dan wakil rakyat secara langsung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.