
BOM LAMA DITEMUI DI KEBUN SAWIT FELDA BUKIT SENGGEH
ASAHAN 14 Julai – Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) seberat 500 paun (226.7 kilogram) ditemui di kebun kelapa sawit di FELDA Bukit Senggeh, Nyalas, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat, pihaknya menerima laporan sekitar jam 1.47 tengah hari daripada orang awam memaklumkan penemuan objek mencurigakan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan kebun miliknya.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, Unit Pemusnah Bom dari Cawangan Persenjataan, Bahagian Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah sebutir bom lama jenis UXO (Unexploded Ordnance) kategori bom berat seberat 500 paun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan memusnahkan bom berkenaan akan dilaksanakan oleh Unit Pemusnah Bom pada 15 Julai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan tersebut bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta memastikan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.