Sorting by

×

JAPERUN DUYONG MAHU BANTU PESALAH DADAH BERUBAH

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 16 Julai – Program Peluang Kedua: ‘Back To Community’ Kita Bantu Kita yang diadakan bagi menyantuni dan mendekati mereka yang terjebak dengan najis dadah bakal diadakan secara berkala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, usaha itu dilakukan bagi memberi galakan dan sokongan moral untuk golongan itu pulih dan dapat dapat kembali bersama komuniti.

Jelas beliau, walaupun program itu pertama kali diadakan bersempena penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, namun ia tidak akan ternoktah di situ dan perbincangan telah dilakukan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka.

“Di DUN Duyong ini tiada jurang antara kita malah semua orang penting dan kita tidak tinggalkan sesiapa.

“Justeru itu, kita sudah berbincang dengan pengarah AADK bahawa Japerun Duyong tiada ada masalah atau halangan untuk program ini diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

“Kita akan panggil klien-klien AADK ini untuk duduk bersama-sama minum petang dan melakukan aktiviti, malah secara tidak langsung ia dapat membantu AADK untuk melakukan ‘outreach’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Peluang Kedua: ‘Back To Community’ Kita Bantu Kita Bersama Klien Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, di Japerun Duyong, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah AADK Negeri Melaka Noor Azrimah Ahmad.

Mohd Noor Helmy berkata, pelaksanaan program itu penting sebagai usaha untuk bersama membantu golongan ini untuk kembali berubah seterusnya meninggalkan najis dadah.

“Mungkin sebelum ini di Japerun kita ada tertinggal golongan ini jadi program dilakukan ini antara usaha untuk merapatkan semula jurang itu.

“Malah, pada masa yang sama kita dapat kenal dengan lebih dekat. Maka apabila sudah kenal ia mudah untuk dibantu dan mereka tidak keseorangan untuk berubah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post SENTUHAN KASIH MBMB UNTUK PENDUDUK DUYONG
Next post MELAKA BAKAL MILIKI PUSAT TVET TAHFIZ PERTAMA DUNIA