Sorting by

×

KONVOI 107 KENDERAAN WARNAI KEMBARA MERDEKA PERINGKAT NEGERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

RIM 30 Julai – Kibaran Jalur Gemilang dipasang pada 107 pelbagai jenis kenderaan, mewarnai suasana dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan pengunjung hadir menyaksikan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Melaka di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, di sini, hari ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang menetapkan hanya 68 kenderaan.

“Seperti biasa Kerajaan Negeri Melaka sentiasa memberikan sokongan padu apabila melibatkan program yang berbentuk kenegaraan atau patriotisme. Konvoi 107 buah kenderaan sejauh 60 kilometer ini singgah di McDonald’s Batu Berendam, Masjid Ar-Rahman Durian Tunggal dan Pasar Menggong di Alor Gajah.

“Majlis penutup KMJG 2025 Peringkat Negeri Melaka akan berlangsung di Japerun Rembia, pada esok. Seterusnya konvoi akan Muzium Rembau, Negeri Sembilan bagi acara simbolik penyerahan, sekali gus meneruskan program di negeri itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian KMJG 2025 Peringkat Negeri Melaka di kolej tersebut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JaPen Melaka, Ab Rasil Hajatil dan Pengarah Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Idopi Senin.

Bersempena sambutan bulan kebangsaan, Fairul Nizam mengajak rakyat Melaka untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau premis masing-masing.

“Kembara ini bukan sekadar konvoi atau simbolik mengibarkan Jalur Gemilang tetapi manifestasi cinta tanah air dan simbol solidariti rakyat Malaysia dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan.

“Setiap rumah mari bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

834
Kongsi :
Previous post CAR FREE ZONE @ALOR GAJAH PUPUK BUDAYA HIDUP SIHAT, KEUSAHAWANAN
Next post PPSPM MAHU MELAKA RIVER CRUISE KEKAL SEBAGAI IKON PELANCONGAN MELAKA