Sorting by

×

MELAKA SALUR BANTUAN KEWANGAN BULANAN, CAKNA KEPERLUAN WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 9 Disember – Bantuan kewangan RM500 disalurkan Kerajaan Negeri kepada warga emas bagi memastikan kebajikan golongan itu terjamin, selain memastikan mereka kekal menjadi sebahagian daripada komuniti.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berpendirian bahawa penempatan warga emas sebatang kara di institusi kebajikan adalah langkah terakhir.

Kalsom berkata, antara yang disalurkan untuk golongan itu adalah Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Am dan Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar disediakan Kerajaan Negeri yang bertujuan menyokong keperluan asas mereka supaya dapat terus tinggal secara berdikari.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga menggalakkan penglibatan komuniti setempat melalui Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) iaitu inisiatif sukarelawan untuk menyediakan sokongan sosial kepada warga emas yang tinggal bersendirian atau bersama keluarga yang memerlukan.

“Malah JKM juga melaksanakan intervensi berbentuk sokongan komuniti termasuk pemantauan berkala oleh Pegawai JKM bersama pemimpin tempatan untuk memastikan warga emas sentiasa mendapat perhatian serta bantuan di kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, sejumlah RM68,708,700 telah diperuntukkan Kerajaan Negeri khusus untuk BWE membabitkan seramai 11,458 penerima.

“Bagi jumlah klien warga emas dan lain-lain kumpulan sasar jabatan yang terlibat dengan KBDR di Melaka adalah seramai 216 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM622,000 bagi 2025,” katanya.

Jelas beliau, penempatan warga emas khususnya mereka yang sebatang kara di institusi kebajikan hanya dibuat selepas semua intervensi komuniti tidak lagi sesuai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: MPHTJ LAKSANA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR LEBIH MENYELURUH
Next post INISIATIF RM50,000 BAIK PULIH, NAIK TARAF FASILITI SUKAN SETIAP DUN DI MELAKA