
WRUR DUN BUKIT KATIL: BERI TUMPUAN KEPADA USAHA SELESAIKAN ISU RAKYAT
SERI NEGERI 10 Disember – Pelaksanaan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, mampu menyegerakan usaha untuk menyelesaikan isu rakyat yang tertangguh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari berkata, bagi WRUR Bukit Katil pihaknya merekodkan lebih 239 aduan yang memerlukan penyelesaian dan tindakan segera.
“Sebenarnya jika dilihat daripada pelaksanaan WRUR ini ia membantu mempercepatkan lagi proses sama ada pembangunan atau menyelesaikan isu rakyat.
“Sebenarnya kita sentiasa peka dan cakna berhubung isu rakyat, ketika mesyuarat bulanan Japerun perkara ini sentiasa dibincangkan, khusus melibatkan masalah setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, sepanjang dua minggu WRUR Bukit Katil sebanyak 79 program dirancang yang meliputi pelbagai segmen masyarakat.
“Saya amat berharap bukan sahaja warga Bukit Katil tetapi masyarakat sekitar juga mendapat manfaat daripada penganjuran program ini.
“WRUR bukan sahaja tentang aduan semata-mata, tetapi turut melibatkan Jualan Rahmah dan program-program kerohanian yang diadakan di beberapa surau serta masjid,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


