Sorting by

×

RM5.3 JUTA BAIK PULIH MASJID, SURAU DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 10 Disember – Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta setahun bagi kerja-kerja baik pulih serta penyelenggaraan lebih 1,000 masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata MAIM menyediakan RM3 juta setahun, manakala JAIM menyalurkan RM2.3 juta bagi tahun 2025 bagi memastikan rumah ibadat terus berada dalam keadaan selamat, selesa serta terpelihara.

Katanya, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja pembaikan terhadap 216 buah masjid, 682 surau kariah dan 121 surau institusi, menjadikan keseluruhannya 1,020 buah rumah ibadat di seluruh Negeri Melaka.

“Untuk tahun 2024, jumlah permohonan yang telah diluluskan adalah 88 dengan perbelanjaan sebanyak RM3.85 juta manakala bagi tahun 2025, sebanyak 86 permohonan telah diluluskan setakat ini, dengan perbelanjaan berjumlah RM1.25 juta sehingga suku tahun ketiga dan dijangka ada tambahan bagi suku tahun keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, MAIM dan JAIM tidak menampung sepenuhnya kos pembaikan sebaliknya menggalakkan penglibatan ahli kariah melalui sumbangan wakaf dan dana komuniti bagi membantu menampung keperluan penyelenggaraan.

“Namun demikian, perlu saya jelaskan bahawa Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam tidak menampung keseluruhan perbelanjaan kerja pembaikan. Ini kerana kita menggalakkan ahli-ahli kariah untuk mencari dana wakaf daripada masyarakat setempat.

“Biasanya kita tidak memberikan sepenuhnya, namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, bagi surau di bawah institusi yang tidak ditadbir oleh MAIM atau JAIM, tanggungjawab penyelenggaraan adalah di bawah agensi atau institusi berkenaan, namun Kerajaan Negeri tetap menyalurkan sumbangan berdasarkan kepentingan dan keutamaan.

“Antara yang turut menerima sumbangan ialah surau di sekolah, universiti dan jabatan-jabatan kerajaan, namun jumlahnya tidak besar kerana ia merupakan tanggungjawab agensi masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Kongsi :
Previous post 507 SIRI PENGIMARAHAN MASJID, SURAU DI PEDALAMAN MELAKA
Next post RXZ RIDE EDITION 3.0: POLIS PERKETAT KAWALAN KESELAMATAN