Sorting by

×

LONJAK KEDUDUKAN MELAKA SEBAGAI PANGKALAN STRATEGIK EV DI ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

GADEK 11 Disember – Melaka bukan sahaja tersohor sebagai destinasi bersejarah, sebaliknya negeri ini bakal melonjak naik sebagai hab pembuatan bertaraf global industri automotif berkaitan kenderaan elektrik (EV).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu Melaka gah dalam rantaian bekalan EV, sebaliknya menjadi pengkalan strategik EV di ASEAN.

Katanya, pembukaan kilang kedua EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka membuka lembaran baharu dalam industri automotif negara, menerusi pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama berteknologi tinggi dalam kategori EV pintar.

“Masih segar dalam ingatan saya setahun lalu, kita berhimpun di sini untuk menyaksikan detik bersejarah pelancaran penghantaran kereta cekap tenaga (EEV) ke-1,000 unit oleh Kumpulan EPMB.

“Saya yakin, pembinaan kilang kedua ini bukan projek biasa. Ia adalah manifestasi visi jauh ke hadapan EPMB untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 30,000 unit setahun dan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM800 juta merangkumi pembangunan tanah, infrastruktur serta peralatan bagi tiga fasa
utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Kedua EPMB Dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.

Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Pengerusi Eksekutif EPMB, Datuk Hamidon Abdullah dan Lembaga Pengarah EPMB, Tan Sri Hussain Ismail.

Ab Rauf berkata, lebih penting lagi, melalui pembangunan ini dijangka mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang akan memainkan peranan penting dalam industri mobiliti masa depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

512
Kongsi :
Previous post PENGAKAP ASET NEGARA, PLATFORM LAHIR PEMIMPIN MASA DEPAN
Next post MELAKA SASAR SEDIAKAN 300 STESEN PENGECAS EV