
BUNYI BISING BELAKANG RUMAH RUPANYA ULAR SAWA 100KG
MERLIMAU 12 Disember – Penghuni sebuah rumah di Kampung Sebatu, di sini, gempar apabila menemui seekor ular sawa sepanjang 6.5 meter (21 kaki) dengan anggaran berat 100 kilogram (kg).
Ular tersebut ditemui berhampiran pokok durian di belakang rumah, sebelum penghuninya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jasin bagi menangkap spesies reptilia itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jasin Kapten (PA) Mohamad Fairul Asikin Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 malam sebelum menggerakkan empat anggota yang diketuai L/KPL (PA) Bazli Mhd Azib ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada jam 9.52 malam, ular berkenaan ditemui dalam keadaan agresif menyebabkan proses untuk menangkapnya dengan menggunakan jerut menjadi sedikit mencabar.
“Bagaimanapun, dengan kawalan rapi, teknik khas serta pengalaman anggota, ular tersebut berjaya ditangkap dengan selamat pada jam 10.05 malam tanpa menyebabkan kecederaan kepada anggota mahupun orang awam.
“Spesies reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam untuk tidak mengambil tindakan sendiri ketika berdepan situasi melibatkan ular mahupun spesies reptilia lain yang berbahaya.
Menurutnya, jika berdepan situasi tersebut, orang awam boleh segera menghubungi talian kecemasan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


