
MELAKA PERHEBAT KEMPEN INTERNET SELAMAT, TANGKIS ANCAMAN ‘SEXUAL GROOMING’
AYER KEROH 12 Disember – Kerajaan Negeri akan memperluaskan pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) tahun hadapan dengan fokus lebih mendalam terhadap keselamatan pelajar termasuk ancaman ‘sexual grooming’ di media sosial.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini Melaka telah melaksanakan KIS di 313 daripada 317 sekolah yang melibatkan seramai 20,756 peserta.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Melaka telah menggerakkan kempen lebih awal tahun ini. Insya-Allah minggu hadapan kita akan selesaikan 100 peratus penyertaan di semua sekolah.
“Kita sedar penglibatan ini belum menyeluruh, jadi tahun depan kita akan fokuskan kempen secara lebih terperinci di setiap sekolah supaya semua pelajar dan guru mendapat input keselamatan internet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Selatan 2025 yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata antara ancaman utama yang kini diberi perhatian ialah isu pengantunan seksual (sexual grooming) yang menyasarkan kanak-kanak di media sosial.
“Saya meminta agar ibu bapa memantau aktiviti anak-anak dan saya juga menyokong dasar kerajaan yang memastikan individu bawah 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.
“Walaupun umur 16 tahun ke atas dibenarkan, mereka masih bersekolah, maka ibu bapa, jiran tetangga, saudara-mara dan guru perlu mengambil berat tentang aktiviti pengantunan seksual ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada kes membabitkan pengantunan seksual direkodkan di Melaka, namun Kerajaan Negeri bimbang dengan peningkatan taktik pemancingan (luring) yang boleh memerangkap pelajar.
“Kita tidak mahu anak-anak terjebak sehingga memilih jalan yang salah untuk menjana pendapatan, justeru pemantauan sangat penting,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


