Sorting by

×

260 KRT MELAKA BEREVOLUSI, JADI NADI PENGGERAK PERPADUAN

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 12 Disember – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang diwujudkan di negeri ini telah jauh berubah menjadi sebuah komuniti yang serba dinamik dan memainkan peranan penting sebagai penggerak perpaduan masyarakat.

Ia jelas terbukti apabila peranan KRT pada masa kini bukan hanya membabitkan rondaan keselamatan, bahkan menjadi wahana memperkukuh hubungan pelbagai kaum, memupuk budaya saling menghormati, membina jaringan sokongan sosial serta mengukuhkan ikatan kejiranan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehingga kini, jaringan KRT di Melaka telah berkembang kukuh merangkumi 260 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang digerakkan oleh lebih 6,500 ahli aktif di seluruh negeri.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, KRT di negeri ini telah berevolusi apabila empat lagi kelompok baharu diperkenalkan iaitu Jiran Muda, Jiran Wanita, Jiran Warga Emas dan Tunas Jiran dalam memastikan kesejahteraan rakyat diterjemah secara inklusif merentasi generasi.

“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya menzahirkan setulus penghargaan kepada seluruh kepimpinan serta para sukarelawan KRT yang saban waktu menjadi penggerak utama perpaduan di peringkat komuniti.

“Komitmen saudara-saudari inilah yang menjadikan setiap inisiatif KRT bukan sekadar program, tetapi suatu usaha yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Komuniti Rukun Tetangga Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Perpaduan Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri memaklumkan, agenda perpaduan menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri, di mana, sejak tahun 2023, sejumlah RM900,000 telah disalurkan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka bagi menggerakkan pelbagai program pembangunan masyarakat dan pengukuhan jaringan sosial di peringkat akar umbi.

Selain itu, jelas beliau, melalui Kementerian Perpaduan Negara, Inisiatif Pemerkasaan KRT sebagai Penggerak Masyarakat Progresif telah diperkenalkan pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Setakat ini, sebanyak 453 Rukun Tetangga di seluruh negara telah diperkasa sebagai Model RT Progresif. Bagi negeri Melaka, 6 Kawasan Rukun Tetangga telah dipilih sebagai model pada tahun 2024, manakala bagi tahun 2025, pemilihan diperluas kepada 9 Kawasan Rukun Tetangga lagi.

“Melalui model ini, RT Progresif memberi tumpuan kepada 8 bidang utama, iaitu keselamatan, ekonomi, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, budaya dan daya cipta… di mana kesemuanya menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar warga KRT di negeri ini bersama-sama Kerajaan Negeri menyahut seruan ‘Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ selari dengan tema utama Bajet Negeri Melaka 2026, sekali gus menjadi model keharmonian dan perpaduan sosial kepada negeri-negeri lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post MICTH FOKUS INFRASTRUKTUR DIGITAL, INISIATIF AI
Next post KEMPEN INTERNET SELAMAT 2.0 FOKUS DIDIK IBU BAPA KESELAMATAN DIGITAL