Sorting by

×

PACU EKONOMI ANAK MUDA PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 19 Februari – Menggilap potensi anak muda menjadi antara fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin bagi membantu golongan berkenaan terus bersinar.

Jelas beliau, usaha itu digerakkan menerusi pelbagai pendekatan, antaranya menyediakan ruang dan peluang buat belia mengekspresikan minat, selain galakan untuk mereka terus meneroka peluang baharu menjana pendapatan.

Menyedari saingan pekerjaaan masa kini semakin sengit, beliau berkata penyediaan platform ruang niaga juga dilihat mampu membantu melonjakkan ekonomi anak muda di DUN Paya Rumput.

“Oleh sebab itu, saya merealisasikan Uptown Paya Rumput di Stadium Hang Jebat yang boleh dimanfaat anak muda untuk berniaga dan mencipta kreativiti mereka dalam perniagaan.

“Malah, untuk permulaan, saya juga membuka peluang kepada mereka untuk berniaga secara percuma di uptown ini.

“Pada masa sama, di pasar malam misalnya saya lihat ramai anak muda berniaga air balang dan sebagainya yang seharusnya kita memberi sokongan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena Karnival Demi Paya Rumput.

Dalam pada itu, Rais mahu anak muda di Paya Rumput bersedia meneroka bidang baharu seperti dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan pasaran masa kini.

Jelasnya, pelbagai kemudahan disediakan kerajaan seperti Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) untuk golongan muda ini terus memperkasa pembangunan diri.

“Saya memuji usaha dilakukan anak muda, Ts. Muhammad Zulhazreen Mohd Nasir, 38, dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheng Perdana yang mengusahakan percetakan 3D di DUN ini.

“Ini bukti bahawa bidang TVET ini semakin mendapat tempat dan berupaya memacu kemenjadian rakyat DUN Paya Rumput,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post MELAKA JEMPUT PELANCONG RASAI PENGALAMAN IFTAR, KACAU DODOL
Next post 20,000 PENGUNJUNG SERBU BAZAR IKONIK BANDA HILIR