Sorting by

×

MELAKA PERKUKUH KERJASAMA PENDIDIKAN, DAKWAH DENGAN AL-AZHAR

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KAHERAH 18 Februari – Melaka mahu memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama strategik dengan Universiti Al-Azhar yang dianggap sebagai tunjang penting dalam memperkasakan ekosistem pendidikan Islam di negeri ini.

Hasrat itu dinyatakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika kunjungan hormat ke atas Timbalan Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Muhammad al-Duwaini, semalam.

Ketua Menteri berkata, perjumpaan itu bukan sahaja membuka lembaran baharu antara Al-Azhar dan Negeri Melaka, tetapi ia adalah jambatan penting dalam memperkasakan bidang latihan pendakwah selain pengembangan dakwah Islamiah pendekatan wasatiyyah sederhana serta inklusif.

Katanya, kerjasama itu amat penting dalam usaha melahirkan tenaga ilmuwan dan pendakwah yang kompeten, berwibawa selain mampu menyumbang kepada pembangunan ummah serta kesejahteraan sejagat.

“Melaka komited untuk terus memperkukuh hubungan luar yang strategik demi kesejahteraan ummah dan kemajuan negeri yang mampan. Semoga usaha ini menjadi jambatan ilmu dan dakwah yang memberi manfaat berpandangan kepada generasi masa hadapan.u

“Hubungan antara Melaka dan Al-Azhar bukan sekadar kerjasama antara institusi, tetapi jauh melatari sejarah dan perkongsian pengetahuan kerana sejak sekian lama penuntut dari Melaka datang ke Mesir untuk menimba pengetahuan di Al-Azhar.

“Kami mengagumi kecemerlangan Al-Azhar sebagai universiti paling berprestij dalam dunia Islam. Ketika ini 118 anak Melaka sedang mengikuti pengajian di Al-Azhar, mereka ini adalah ilmuan generasi baharu yang bakal menyumbang kepada perkembangan pengetahuan Islam,” kata Ketua Menteri menerusi satu kenyataan.

Delegasi Melaka turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Ab Rauf juga berharap, kerjasama yang dibincangkan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua belah pihak, bertujuan melancarkan pelaksanaannya nanti bagi tempoh jangka masa panjang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU BINA TIGA RUMAH ASNAF TAHUN INI
Next post DILEMA BANJIR HAMPIR TEMUI TITIK NOKTAH