Sorting by

×

KEBIMBANGAN PENDUDUK KINI BERAKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 21 Februari – Isu jalan sempit yang sekian lama menjadi rungutan penduduk di Kampung Pantai Cheng, di sini, akhirnya berjaya diselesaikan selepas bertahun-tahun menimbulkan ketidakselesaan dan risiko keselamatan kepada pengguna dan penduduk sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheng Sadeli Mohd Toha, 58, berkata, laluan yang sebelum ini hanya boleh dilalui satu kenderaan pada satu-satu masa telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung terbabit.

Katanya, meskipun bukan laluan utama, jalan alternatif itu penting kerana berfungsi sebagai penghubung yang memendekkan jarak perjalanan antara kampung dengan taman perumahan sekitar kawasan berkenaan.

“Akhirnya, baru-baru ini isu jalan di Kampung Pantai Cheng ini berjaya diselesaikan menerusi kerjasama JPKK dan kontraktor terlibat, di mana kerja-kerja pelebaran jalan telah dilaksanakan.

“Sehingga kini, jalan terbabit sejauh hampir dua kilometer (km) itu telah diturap dan membolehkan pergerakan dua hala dengan lebih selamat dan selesa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurut Sadeli, sokongan berterusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin wajar dipuji kerana selaku pemimpin beliau sentiasa berusaha memastikan isu rakyat di peringkat akar umbi diberi perhatian dan diselesaikan.

Tambahnya, isu jalan kampung itu antara aduan utama penduduk sekitar yang diterimanya selama hampir lima tahun bergelar Pengerusi JPKK Cheng.

“Isu ini memang jadi aduan utama, Alhamdulillah ia dapat diselesaikan bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

“Antara aduan lain lebih kepada kemudahan asas dan kebajikan penduduk dan tiada isu besar seperti banjir dilaporkan setakat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post KAMPUNG MORTEN, PERMATA WARISAN YANG MASIH BERNYAWA
Next post TIBI TERKAWAL, PELANCONGAN MELAKA SELAMAT DILAWATI