
3 HARI TIDAK KELUAR, LELAKI DITEMUI MENINGGAL DUNIA DALAM RUMAH
PAYA RUMPUT 24 Mac – Tiga hari kelibatnya tidak dilihat jiran membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, petang semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditemui ahli keluarga dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam bilik sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.18 petang semalam dan siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk atau pergelutan.
“Pemeriksaan menemui mayat berada di dalam bilik terbaring di atas lantai simen dan tiada unsur-unsur jenayah dikesan. Rumah tersebut juga dalam keadaan bersih dan kesemua barang-barang peribadi dalam keadaan yang baik.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, hasil temu bual dengan saksi iaitu adik mangsa memaklumkan, abangnya mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Ujarnya lagi, adik mangsa memberitahu, kali terakhir bertemu adalah pada 18 Mac lalu ketika mereka bersama-sama berbuka puasa di kediaman ibu mereka di Taman Seri Krubong.
“Pada waktu itu, mangsa dikatakan dalam keadaan letih dan penat dan kurang selera makan.
“Adiknya pernah beberapa kali menasihati mangsa untuk tinggal bersama ibu mereka di Taman Seri Krubong, namun, mangsa enggan kerana mahu tinggal di rumah yang dibelinya itu sejak setahun yang lalu,” katanya.
Menurut Christopher, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


