
WRUR AYER MOLEK: KESEDARAN ‘SCAMMER’, AI DAN STEM ANTARA TUMPUAN
AYER MOLEK 4 Mei – Program kesedaran mengenai jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ menjadi antara pengisian program di bawah portfolio Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital yang akan dibawakan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, selain itu, turut dibawakan adalah program kesedaran teknologi kecerdasan buatan (AI), selain promosi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Semua ini kita bawakan supaya masyarakat dapat lebih cakna mengenai jenayah penipuan dalam talian yang telah menyebab kerugian jutaan ringgit dan semakin berleluasa pada masa kini.
“Pada masa sama, kesedaran AI dan STEM juga kita beri tumpuan, di mana, program ini memberi fokus kepada pelajar-pelajar di DUN Ayer Molek,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program WRUR DUN Ayer Molek: Hang Tuah Jaya Kampung Kita di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Menurut Fairul Nizam, selain itu, pihaknya menerusi agensi berkaitan juga akan memberi tumpuan kepada aduan rakyat dalam sudut telekomunikasi, termasuklah membabit capaian jalur lebar di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini kita telah menyelesaikan masalah capaian telekomunikasi di Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek dengan pembinaan sebuah menara telekomunikasi pada 2024 dan kini sebuah lagi menara akan dibina di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu sejak bertahun-tahun.
“Di peringkat kampung atau taman perumahan, kita sedang mengumpulkan aduan daripada penduduk dan penyelesaian akan segera dilakukan jika ada menerima laporan mengenai masalah telekomunikasi yang berlaku di sesuatu kawasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


