Sorting by

×

MAIM TAJA 20 ANAK ASNAF CEBURI TVET

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER MOLEK 11 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membuka peluang kepada 20 anak asnaf untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Tajaan Pensijilan Kemahiran (TPK).

Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, menerusi inisiatif itu MAIM menawarkan tajaan sepanjang tempoh dua tahun pengajian kepada pemohon yang layak berusia antara 18 hingga 24 tahun.

Beliau berkata, menerusi tajaan itu pemohon akan menyambung pengajian di dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi program Sijil Elektrik serta Sijil Mekatronik.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIM dalam memperkasa pembangunan TVET khususnya dalam kalangan anak asnaf di negeri ini.

“Ini tahun ketiga pelaksanaan dan MAIM menawarkan 20 tempat kepada anak asnaf yang berminat dan setakat ini seramai 13 pemohon sudah mengemukakan permohonan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Gotong-Royong Kasih Asnaf Sempena Program WRUR DUN Ayer Molek yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman, di Kampung Bukit Gadong, Paya Dalam, di sini, pada Ahad.

Mohd Hairulamin berkata, permohonan masih dibuka sehingga akhir Jun dan mereka yang berminat boleh menghubungi MAIM bagi mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya melengkapkan proses permohonan.

“Program ini antaranya membuktikan komitmen berterusan MAIM dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan dan kemahiran.

“Dengan kelayakan itu, mereka berupaya mendapatkan pekerjaan lebih baik dan seterusnya membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post ARKIB KOMUNITI ‘JAMBATAN’ PELIHARA WARISAN SEJARAH
Next post LADANG TEH OOLONG ‘SUBUR’ DI BUMI MACHAP