Sorting by

×

PASANGAN KEKASIH DITAHAN SEMBUNYI KELAHIRAN, GUGUR KANDUNGAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 6 Mei – Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes menggugurkan kandungan secara paksa serta menyembunyikan janin dalam kejadian minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka pada jam 6.50 petang, 25 April lalu memaklumkan seorang pesakit perempuan berusia 17 tahun dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut beliau, remaja perempuan itu dipercayai mengambil pil menggugurkan kandungan berusia 22 minggu sebelum mengalami pendarahan akibat uri gagal dikeluarkan.

“Siasatan mendapati pesakit memaklumkan janin yang keluar tidak bernyawa dan telah ditanam oleh teman lelakinya di lokasi tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan seorang lelaki berusia 18 tahun pada hari sama kira-kira jam 11.40 malam bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut menahan remaja perempuan terbabit kira-kira jam 3.15 petang semalam selepas keluar dari hospital akibat keguguran dialami.

“Hasil siasatan mendapati suspek lelaki merancang bersama teman wanitanya untuk menggugurkan kandungan menggunakan pil gugur bayi.

“Suspek lelaki kemudian mengambil janin di rumah suspek perempuan sebelum merancang menanam janin itu di belakang rumahnya, namun bertindak menyembunyikannya terlebih dahulu di dalam sebuah kereta jenis Honda City di rumahnya,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan manakala suspek perempuan disiasat di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek dijangka dituduh di Mahkamah Ayer Keroh pada 8 Mei ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: RAKYAT MOHON KESELAMATAN DI SEKOLAH DITAMBAH BAIK