Sorting by

×

CENDOL SAGU RUMBIA MAK KIAH MEMANG TERANGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 9 Mei – Hanya berniaga pada setiap hari Sabtu dan Ahad setiap minggu, Cendol Sagu Rumbia Mak Kiah yang pertama kali dibuka pada tahun 2019 sehingga kini mempunyai peminatnya tersendiri dari dalam dan luar Melaka.

Pemilik Cendol Sagu Rumbia Mak Kiah, Sharima Samzainan, 40, berkata keunikan cendol tersebut terletak pada pembuatan bahan asasnya dan rasa asli sagu yang dihasilkan sepenuhnya secara tradisional.

Katanya, perniagaan yang kini dijalankan bersama suami, Shafariduan Jaafar, 40, itu merupakan legasi arwah bapanya yang mengajarnya menghasilkan cendol menggunakan sagu rumbia asli tanpa campuran tepung lain.

“Meskipun proses penyediaan agak rumit dan mengambil masa sehingga seminggu untuk menghasilkan tepung sagu daripada pokok, namun saya memilih untuk mengekalkan kaedah tradisional.

“Bermula daripada proses menebang pokok sagu, memerah, menapis hingga menjadi tepung, semuanya saya dan suami uruskan sendiri bagi memastikan keaslian rasa sagu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, perniagaan itu bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang di hadapan rumahnya di Kampung Masjid Baru.

Menurut Sharima, harga yang ditawarkan juga kekal mampu milik iaitu RM5 bagi cendol original dan RM7 bagi cendol istimewa yang ditambah kacang merah serta jagung.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan, memang kita ada pelanggan tetap yang berulang kali datang dan ada pelanggan dari luar Melaka seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor sanggup datang semata-mata untuk rasa cendol ini.

“Boleh dikatakan sehari jualan saya mampu mencecah antara 60 hingga 80 cawan dan kebiasaannya habis sebelum waktu operasi tamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

874
Kongsi :
Previous post KUALA SUNGGA SEMAKIN DIKENALI
Next post TAMAN TEMA AIR TETC, ‘PORT’ MANDI MANDA MURAH HUJUNG MINGGU