
TAMAN PERMAINAN MODEN SDG PARK JADI TARIKAN BAHARU
PENGKALAN BATU 11 Mei – Sebuah taman permainan kanak-kanak berkonsep moden dan mesra komuniti dilengkapi pelbagai kemudahan riadah kini menjadi tarikan baharu warga Bandaraya Melaka apabila Projek Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park dibuka kepada orang awam.
Keunikan taman permainan itu bukan sahaja menawarkan ruang santai dan rekreasi keluarga, malah dibangunkan dengan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi mewujudkan persekitaran lebih sihat, selamat dan kondusif untuk komuniti setempat.
Exco Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, taman permainan berkenaan menjadi simbol penting dalam usaha menyokong agenda SDG di negeri ini.
Menurutnya, kemudahan itu turut berperanan sebagai platform menggalakkan gaya hidup aktif selain memupuk nilai kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Pembangunan taman ini juga menunjukkan bahawa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa bergerak ke hadapan dalam memastikan pembangunan fizikal seiring dengan kesejahteraan sosial rakyat.
“Secara peribadi dan mewakili masyarakat di DUN Pengkalan Batu, saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada MBMB kerana sentiasa cakna dan membantu dalam projek pembangunan fizikal seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tandas Terbersih sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah di Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Kalsom, projek taman permainan itu menerima peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara menerusi Program Taman Rekreasi Madani dengan kos keseluruhan bernilai RM427,000.
Katanya, projek berkenaan mula dilaksanakan pada 1 Jun 2025 dan siap sepenuhnya pada 21 September 2025 sebelum dibuka kepada orang awam pada November tahun sama.
“Projek taman permainan ini mengangkat tema ‘Revitalizing of SDG Park’ yang memberi penekanan kepada pembangunan kawasan rekreasi lebih moden, selesa dan mesra komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


