Sorting by

×

PELAYARAN INDAH DENGAN MELAKA SEA CRUISE

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 13 Mei – Menikmati keindahan panorama matahari terbenam dari Selat Melaka menjadi antara tarikan yang ditawarkan Melaka Sea Cruise.

Produk pelancongan di bawah kendalian Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu kini kembali beroperasi sejak April lalu dan mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, orang ramai khususnya pelancong kini boleh menikmati pelayaran dengan Melaka Sea Cruise yang pastinya menawarkan pengalaman pelancongan air berbeza di negeri ini.

Jelas beliau, produk pelancongan baharu itu juga telah melepasi segala aspek pemeriksaan teknikal dan dokumentasi berkaitan sekali gus menjadikannya selamat untuk dinikmati.

“Pakej pelayaran Melaka Sea Cruise boleh dinaiki bakal membawa pengunjung ke Taman Laut Melaka untuk menikmati keindahan terumbu karang selain panorama matahari terbenam yang menjadi tarikan utama.

“Permintaan terhadap produk pelancongan ini amat menggalakkan kerana ramai pelancong teruja apabila dibawa ke Taman Laut Melaka dan melihat pelbagai keunikan yang ada di jajaran Selat Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata PPSPM kini dalam perancangan untuk membangunkan jeti baharu bagi perkhidmatan Melaka River Cruise.

Jelas beliau, jeti itu dicadang di kawasan Muara Sungai Melaka bagi memudahkan lagi akses pengunjung ke Taman Laut Melaka.

“Langkah ini akan membolehkan pengunjung menaiki bot terus dari Muara Sungai Melaka berbanding Jeti Taman Rempah seperti sebelum ini.

“Kita yakin Melaka Sea Cruise akan menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri ini kerana ia menawarkan satu pengalaman yang cukup istimewa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post UMAR BAIHAQI BAWA IMPIAN BOLA SEPAK KE TAIWAN