Sorting by

×

‘KAMI MAHU BERUBAH, ENGGAN HIDUP TERASING’

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

MACHAP JAYA 13 Mei – Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli (KOA) Machap Jaya tidak mahu terus dilihat terasing, sebaliknya bertekad untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) KOA Machap Jaya, Helmi Senin, 38, berkata, dia percaya tekad itu sentiasa dipasak ke hati setiap masyarakat Orang Asli di bawah jagaannya.

Kata Helmi yang telah menetap di KOA Bukit Besar sejak lebih 20 tahun lalu, dia turut memahami cabaran yang dihadapi penduduk setempat, khususnya 21 buah keluarga di KOA Bukit Besar.

“Cabaran utama saya adalah memastikan penduduk sentiasa semangat untuk lebih maju dan meneruskan kehidupan dalam komuniti kecil ini.

“Pada masa sama, saya juga berperanan menyantuni penduduk dan menyampaikan suara serta keperluan mereka kepada wakil rakyat kawasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Helmi yang bekerja sebagai penoreh getah turut menekankan kepentingan pendidikan dalam kalangan generasi muda Orang Asli sebagai kunci kepada perubahan masa depan komuniti.

“Saya harap taraf pendidikan masyarakat di sini akan terus meningkat. Anak-anak tidak boleh hanya duduk di kampung tanpa arah, mereka perlu ke sekolah dan menimba ilmu untuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Mengulas mengenai kehidupan bermasyarakat, dia berkata, penduduk di KOA Machap Jaya hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Tambahnya, masyarakat Orang Asli di sini juga tidak ketinggalan meraikan perayaan penting bersama seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Krismas, malah sentiasa disantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem setiap kali tiba musim perayaan.

Dari aspek pembangunan, Helmi mengakui terdapat perubahan positif yang mula dirasai penduduk seperti penurapan jalan dan pemasangan lampu jalan yang memberi lebih keselesaan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya merupakan kawasan yang memiliki perkampungan Orang Asli terbesar di Negeri Melaka iaitu merangkumi tujuh buah kampung iaitu KOA Bukit Besar, KOA Machap Umboo, KOA Hutan Percha, KOA Bukit Putus, KOA Tebong Station, KOA Kubang Badak dan KOA Air Dusun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post 50 PROGRAM WARNAI WRUR KOTA LAKSAMANA
Next post ‘RIDE’ PALING BERGAYA DI MENARA TAMING SARI, AHAD INI