Sorting by

×

HOSPITAL BAHARU MELAKA AGENDA PENTING DEMI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

LENDU 14 Mei – Perancangan untuk mendapatkan hospital baharu di Melaka akan terus diperjuangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, demi melihat rakyat negeri ini menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik.

Bagi Ketua Menteri, pembinaan hospital baharu di Melaka adalah satu agenda  penting demi masa depan rakyat di negeri ini.

Katanya, hospital utama sedia ada telah berkhidmat hampir 90 tahun dan rakyat Melaka berhak menikmati fasiliti kesihatan yang moden, selesa dan lebih bersedia menghadapi cabaran kesihatan masa hadapan.

“Semua ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri benar-benar Sayang kepada rakyat, tidak pernah memandang ringan soal kesihatan rakyat. Bagi saya apabila rakyat sakit Kerajaan mesti hadir.

“Insya-Allah, saya bersama seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan agenda kesihatan ini agar Melaka bukan sahaja maju daripada sudut pembangunan, tetapi juga menjadi negeri yang benar-benar menjaga kesejahteraan dan nyawa rakyatnya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan  Seuntai Kasih, Semekar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin merangkap Adun Taboh Naning.

Yang Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah merangkap Adun Kuala Linggi, Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta 200 petugas dan pesara kesihatan yang diraikan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri amat bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek pembangunan Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak yang bakal memberi manfaat besar kepada anggota keselamatan dan keluarga.

Selain itu katanya, Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka juga bakal dibina tahun ini sebagai langkah besar memperkukuh kapasiti kesihatan negeri untuk masa depan.

“Baru-baru ini, ketika saya mendapatkan rawatan di Hospital Besar Melaka saya sempat bertanyakan mengenai keadaan semasa sistem kesihatan negeri.

“Menyentuh perkembangan sektor kesihatan negeri…Satu hakikat yang tidak boleh dipandang ringan bahawa sistem kesihatan kita sedang berada di bawah tekanan yang semakin meningkat, baik daripada segi jumlah pesakit, kerencaman penyakit mahupun ekspektasi rakyat yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post 87 KLINIK KESIHATAN DINAIK TARAF SEPANJANG TIGA TAHUN PENTADBIRAN TOK RAOP
Next post JURURAWAT NADI SISTEM KESIHATAN NEGARA