Sorting by

×

BANTUAN PERSEKOLAHAN NYALAKAN SEMANGAT 241 ANAK ORANG ASLI JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ASAHAN 14 Mei – Seramai 241 murid dan pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli daerah Jasin menerima bantuan persekolahan sumbangan Kerajaan Negeri Melaka.

Sumbangan berupa wang tunai itu merupakan antara manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dalam memperkasa pendidikan anak Melaka tanpa ada yang tercicir daripada menerima manfaat.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sumbangan tersebut dimanfaatkan kepada murid Tabika KEMAS, sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Jasin melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM).

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak Orang Asli terus diberi perhatian.

“Tahniah dan terima kasih juga kepada TAPEM, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atas komitmen dan usaha dalam menjayakan program ini demi masa depan generasi muda Orang Asli di Negeri Melaka.

“Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi semangat kepada anak-anak untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka kepada Pelajar-Pelajar Orang Asli Daerah Jasin bagi Sesi Akademik 2026 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar TAPEM Abdul Aziz Baba serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, pada majlis sama turut draikan dua pelajar Orang Asli cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar dan SMK Simpang Bekoh.

“Tahniah dan syabas diucapkan, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post PENGANGGUR MAUT, RAKAN CEDERA DISERANG KETIKA JUAL BELI PERISA ‘VAPE’