Sorting by

×

835 KEMALANGAN AKIBAT HAIWAN BERKELIARAN DIREKODKAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

MERLIMAU 16 Mei – Sebanyak lebih 50 aduan dan 835 kemalangan berkait haiwan ternakan berkeliaran telah direkodkan di Melaka sejak tahun 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, angka itu menyaksikan kes membabitkan haiwan ternakan berkeliaran bukan lagi isu terpencil, sebaliknya memerlukan solusi tuntas yang lebih sistematik dan efisien.

Atas faktor itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri memperkenalkan QR Tagging Haiwan Ternakan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Haiwan Ternakan PBT 2026 bagi membolehkan setiap pemilik haiwan ternakan lebih bertanggungjawab.

“Sebolehnya, kita tidak mahu penternak dipersalahkan. Tetapi pada masa sama, kita juga tidak boleh berkompromi soal keselamatan rakyat.

“Inisiatif ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penternak agar lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan ternakan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka Mahathir Mustafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka Dr. Mariati Daud Gan; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Negeri Melaka Azahar Mohamed serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, setakat ini, Melaka memiliki lebih 32,000 ekor lembu pedaging, lembu tenusu dan kerbau diusahakan oleh para penternak di seluruh negeri mengikut data Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka.

Justeru, kata beliau, dengan adanya sistem baharu itu setiap haiwan ternakan akan mempunyai identiti digital tersendiri yang membolehkan maklumat pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan ternakan dikenal pasti dengan lebih cepat dan tepat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post MELAKA TAWAR INSENTIF ‘TAGGING’ LEMBU, KERBAU PERCUMA HINGGA HUJUNG TAHUN