Sorting by

×

MOTOSIKAL KLASIK 7 DEKAD, TRIUMPH THUNDERBIRD CURI TUMPUAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 20 Mei – Sebuah motosikal klasik Triumph Thunderbird 1952 berusia lebih 70 tahun antara tarikan pada program The Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) Melaka 2026.

Pemilik motosikal klasik itu, Mohd Syukri Rabu, 53, berkata, jentera berkapasiti 650cc itu merupakan model idamannya sejak kecil dan berjaya dimiliki pada tahun 2020.

Katanya, nilai pasaran motosikal klasik tersebut kini mencecah sekitar RM85,000 di Malaysia dan boleh mencapai lebih RM100,000 di Indonesia atau Thailand.

Berkongsi minatnya Mohd Syukri berkata, dia menunggang motosikal itu dari Muar, Johor ke Banda Hilir untuk memeriahkan acara berkonsepkan kesedaran kesihatan lelaki itu yang dianjurkan oleh Menara Taming Sari.

“Ini memang motosikal impian saya sejak umur 10 tahun lagi. Saya memang minat motosikal klasik, semua ‘body part’ motosikal ini memang seperti asal dan ia tidak menggunakan kunci langsung.

“Pada saya, motosikal klasik bukan sekadar hobi, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti peminat permotoran dari pelbagai latar belakang dan jenis motosikal.

“Walaupun motosikal ini sudah tua namun saya berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia ini menaikinya dalam tempoh tujuh hari dua tahun lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mohd Syukri berkata penyertaan himpunan motosikal klasik moden itu merupakan yang pertama kali disertainya menggunakan motosikal klasik itu.

“Pada saya program DGR Melaka 2026 di Menara Taming Sari ini perlu diteruskan setiap tahun kerana bukan sahaja menghimpunkan peminat motosikal klasik moden, malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan lelaki,” katanya,

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post SK PAYA RUMPUT PERINTIS ‘AI POWERED CLASSROOM’ DI MELAKA