
DELIMa: PELAJAR BOLEH BAWA GAJET KE SEKOLAH
PAYA RUMPUT 19 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pelajar membawa peranti sendiri seperti tablet dan gajet ke sekolah bagi memperkukuh akses pembelajaran digital serta penggunaan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu selari dengan usaha KPM memperluas penggunaan DELIMa sebagai platform utama pembelajaran dalam talian di sekolah dan di rumah.
“Pelaksanaan penggunaan peranti sendiri ini akan disertakan dengan garis panduan khusus oleh KPM dan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan serta pengurusan peranti murid berada dalam keadaan terkawal.
“Kita akan memberi panduan kepada sekolah bagaimana untuk menjaga tablet ini supaya tidak berlaku kecurian atau hilang.
“Integrasi penggunaan peranti sendiri dengan DELIMa akan memperkukuh ekosistem pembelajaran digital negara serta memastikan murid lebih bersedia menghadapi pembelajaran berasaskan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Peluncuran AI-Powered Classroom Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM Aniza Kamarulzaman; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin dan Guru Besar SK Paya Rumput Rozahiran Hamzah.
Menurut Dr. Mohd Azam, penggunaan peranti sendiri akan memudahkan murid mengakses bahan pembelajaran melalui sistem DELIMa tanpa bergantung sepenuhnya kepada peranti sekolah atau perkongsian peralatan di dalam kelas.
“Pendekatan ini turut menyokong kesinambungan pembelajaran digital di rumah apabila ibu bapa digalakkan menggunakan ID DELIMa anak-anak untuk akses pembelajaran dalam talian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

