
MPHTJ LAHIRKAN WARGA KERJA MAHIR KENDALI KES KECEMASAN
AYER KEROH 20 Mei – Kursus Bantuan Kecemasan Awal Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berupaya dapat melahirkan lebih ramai individu yang bersedia membantu mangsa ketika kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, kursus yang diadakan buat pertama kalinya itu menekankan beberapa pengisian antaranya prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR), penggunaan unit peranti defibrillator luaran automatik (AED) serta tindakan awal sekiranya berlaku serangan jantung.
Beliau berkata, kursus itu dijalankan dengan kerjasama Putra Specialist Hospital Melaka dan Persatuan Ambulans Bachang.
“Kursus ini membabitkan seramai 64 orang peserta terdiri daripada kakitangan MPHTJ dan antara usaha memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan bantuan kecemasan awal yang mampu membantu menyelamatkan nyawa.
“Antara pengisian sepanjang kursus adalah ceramah ceramah bertajuk Selamatkanlah Nyawa: CPR, AED dan Tindakan Awal Serangan Jantung serta Strok. Ini pastinya merupakan perkongsian berguna kepada peserta.
“Pendedahan seperti ini penting bagi memastikan orang ramai lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan terutamanya sebelum ketibaan pasukan perubatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, penganjuran kursus itu dilihat mampu meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam mengendalikan situasi kecemasan dengan lebih cepat dan tepat.
“Melihat kepada keberkesanan kursus dianjurkan ini pastinya ia tidak terhenti di sini malah kita akan memperluaskan pendedahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bantuan awal kecemasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

