Sorting by

×

TIMBALAN MENTERI PUJI INISIATIF WRUR SELAMI MASALAH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KOTA LAKSAMANA 20 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di negeri ini disifatkan sebagai platform terbaik dalam mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan termasuk keluarga berdepan tekanan kewangan dan kos sara hidup tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, program berkonsepkan turun padang itu memberi peluang kepada agensi Kerajaan dan Kerajaan Negeri menyantuni rakyat secara terus di peringkat akar umbi.

Katanya, pelaksanaan program ziarah kasih pada setiap program WRUR turut membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Pada siri lawatan kerja ke Melaka pada kali ini, saya berkesempatan menyertai Program Ziarah Kasih Sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana bersama Exco dan Timbalan Exco yang sama portfolio dengan saya untuk menyelami isu rakyat.

“Saya sempat bersama-sama kepimpinan negeri ke beberapa rumah untuk menyantuni keluarga yang terjejas dalam sudut ekonomi, menghadapi tekanan hidup, selain turut menyantuni golongan ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Cakna Kebajikan: Ziarah Kasih WRUR DUN Kota Laksamana di Tengkera, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin bersama Timbalannya Leng Chau Yen serta Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong serta kenamaan lain.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Halyjah Muhamad serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, program ziarah kasih yang diterajui JKM Melaka itu memudahkan Kerajaan Negeri mengenal pasti keperluan sebenar rakyat.

“Program WRUR yang dilaksanakan sejak tahun lalu ini saya lihat sangat bagus dan menjadi medium terbaik menyalurkan bantuan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bergerak bersama kerana kita mempunyai sumber berbeza untuk membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post PERNAH HIDUP SUSAH, PELAJAR CEMERLANG SPM MAHU UBAH NASIB KELUARGA