Sorting by

×

WRUR JADIKAN MPHTJ LEBIH MESRA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KESIDANG 11 Jun – Pendekatan turun padang menerusi diamalkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) setiap kali Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bertujuan menyantuni dan menangani permasalahan komuniti menerima maklum balas yang amat positif.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pendekatan sama diteruskan sepanjang WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang kerana inisiatif itu terbukti berkesan dan efisien dalam menyelesaikan permasalahan rakyat khusus yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, perjumpaan empat mata membantu pihaknya memahami setiap permasalahan secara terperinci, sekali gus memudahkan tindakan penyelesaian dan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sepanjang berlangsungnya WRUR ini dipihak MPHTJ kami menerima maklumbalas amat positif kerana sebarang pemasalahan yang dihadapi dapat disampaikan terus kepada kami untuk diambil tindakan.

“Apabila kita turun padang secara tidak langsung rakyat menjadi lebih dekat dengan kami kerana mereka mempunyai peluang untuk berjumpa secara terus selain dapat mengemukakan aduan serta cadangan penambahbaikan.

“Pendekatan yang dilaksanakan menerusi program WRUR membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, PBT, agensi kerajaan dan masyarakat mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan terhadap isu yang dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kempen Kebersihan Dan Pembaikan Kecil Rumah sempena program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, di Taman Malim Jaya, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin dan Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurut Sapiah, sepanjang berlangsungnya program WRUR DUN Kesidang dua keluarga terpilih untuk disantuni menerusi Kempen Kebersihan Dan Pembaikan Kecil Rumah ini bagi membantu meningkatkan keselesaan serta kualiti hidup lebih baik.

“Selain menyantuni keluarga-keluarga ini dengan mengadakan aktivi gotong-royong, turut dilaksanakan baik pulih dan disampaikan sumbangan barangan elektrik yang diperlukan termasuk sejumlah wang tunai.

“Malah setiap hari juga sepanjang WRUR turut diadakan aktiviti gotong-royong manakala pada Sabtu bertempat di Rumah Pangsa Taman Merdeka akan diadakan gotong-royong perdana,” katanya.

Jelasnya, program WRUR DUN Kesidang merupakan lokasi terakhir untuk MPHTJ namun begitu pihaknya akan terus mengekalkan pendekatan proaktif dalam memastikan setiap aduan termasuk permasalahan penduduk dapat diberi perhatian sewajarnya demi meningkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan pentadbirannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post INDONESIA JADI TUMPUAN PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA
Next post AKCC ANJUR KEJOHANAN GOLF AMAL PIALA PENGERUSI 2026 OGOS INI