Sorting by

×

JAMU MATA, JAMU SELERA DI KEDAI ROTI CANAI MEZAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESIDANG 11 Jun – Bukan sekadar menjamah roti canai sambil menghirup teh tarik panas, malah pelanggan tempatan dan antarabangsa juga berpeluang ‘menjamu’ mata dengan persembahan roti canai terbang.

Itu adalah antara kelebihan ditawarkan kepada pelanggan yang singgah di kedai Roti Terbang Mezan Kampung Enam hingga menjadikan premis diusahakan Mezan Md Said, 47, antara tarikan gastronomi popular di Melaka.

Menurut Mezan, dia mula menebar roti canai sejak berusia 12 tahun dan menggunakan kemahiran dikuasainya itu bagi membantu keluarga menjalankan perniagaan dua tahun kemudian iaitu pada 1994.

Katanya, selepas pulang dari Australia pada 2017 dia kembali meneruskan perniagaan kedai roti canainya dengan menampilkan persembahan roti canai terbang.

“Kemahiran yang ada termasuk pengalaman ketika bekerja di luar negara amat membantu saya untuk meneruskan perniagaan yang sebelum itu diuruskan sementara oleh ahli keluarga.

“Tidak disangka roti terbang dicetuskan oleh saya menjadi tarikan dan setiap hari saya akan membuat persembahan antara jam 9 atau 10 malam bergantung kepada kehadiran pengunjung.

“Alhamdulillah aksi ‘menerbangkan’ roti canai  menghiburkan semua yang hadir, semua orang amat ‘sempoi’ kerana jika saya tersalah sasaran hingga menyebabkan doh jatuh atau terkena pelanggan mereka tidak marah. Mereka faham itu adalah sebahagian daripada persembahan,” katanya.

Menurutnya, keunikan makanan dan persembahan ditawarkan mampu membantu memperkukuhkan sektor pelancongan negeri dengan menarik lebih ramai pengunjung tempatan atau luar negara.

“Jika dulu saya orang pertama di Malaysia yang membuat roti canai terbang tetapi kini sudah ramai golongan muda mempunyai bakat dan potensi menguasai teknik menerbangkan roti canai.

“Untuk itu saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu mempromosikan roti canai terbang dengan lebih meluas kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga tetapi mampu menarik lebih ramai pelancong dang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

584
Kongsi :
Previous post HOTEL MITC RAI 37 MURID PPKI SK KRUBONG 2
Next post KPDN MELAKA TUMPASKAN ‘PORT’ SIMPAN, JUAL DIESEL HARAM