
HARI TANPA KENDERAAN ALOR GAJAH TERUS DAPAT SAMBUTAN
ALOR GAJAH 12 Jun – Program Hari Tanpa Kenderaan Alor Gajah yang berlangsung di Dataran Keris Alor Gajah terus mendapat sambutan hebat apabila berjaya menarik kehadiran ratusan pengunjung berbilang kaum.
Program yang diadakan pada sebulan sekali itu menyediakan pelbagai pengisian menarik buat pengunjung dengan konsep riadah dan rekreasi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, sambutan yang diterima membuktikan program berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat dalam memperkukuh hubungan komuniti.
“Program Hari Tanpa Kenderaan ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan mesra alam, malah menjadi medium untuk masyarakat berkumpul serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Antara tarikan yang mendapat perhatian pengunjung ialah pameran agensi kerajaan, selain pertandingan kereta Hot Wheels, permainan elektrik serta jualan menerusi program Santai Malam Minggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelas beliau, Hari Tanpa Kenderaan Alor Gajah diadakan pada Sabtu minggu terakhir pada setiap bulan, namun untuk edisi Mei 2026, ia diadakan pada 6 Jun memandangkan ia jatuh pada minggu sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Wesak.
“Kita berharap program ini akan terus mendapat sokongan masyarakat dan menjadi antara aktiviti komuniti yang dinanti-nantikan oleh penduduk Alor Gajah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


