Sorting by

×

MIIEX 2026 HIMPUN LEBIH 900 PRODUK INOVASI INKLUSIF UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Jun – Lebih 900 produk inovasi bakal diketengahkan pada program Melaka International Intellectual Exposition (MIIEX) 2026 yang diadakan pada 24 dan 25 Jun ini.

Bertempat di Dewan Taming Sari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, program bertemakan ‘Inclusive Digital Future’ itu bakal membabitkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penyertaan yang diterima adalah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, wakil industri, penjawat awam serta penyelidik tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau, pada edisi ke-14 ini, MIIEX 2026 akan memberi penekanan kepada pembangunan teknologi dan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Jika dua tahun lalu kita memberi fokus kepada golongan orang kurang upaya (OKU), tahun ini skopnya diperluaskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat merasakan bahawa cabaran dan permasalahan yang mereka hadapi turut diberi perhatian serta dicari penyelesaiannya melalui inovasi dan teknologi.

“Tema ‘Inclusive Digital Future’ ini mencerminkan komitmen kita untuk memastikan transformasi digital yang berlaku hari ini dapat dinikmati secara inklusif oleh semua rakyat,” katanya pada sidang media selepas bersiaran di MelakaFM bagi mempromosikan MIIEX 2026.

Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini.

Fairul Nizam berkata, melihat kepada impak besar yang dibawa pada MIIEX 2026, beliau menyeru orang ramai, khususnya rakyat Melaka untuk hadir memeriahkan program berprestij itu serta menyaksikan sendiri kreativiti dan kehebatan inovasi yang dihasilkan peserta.

“Marilah bersama-sama menyaksikan kehebatan anak-anak kita dan warga inovator yang berjaya mencipta pelbagai idea baharu demi kepentingan masyarakat.

“Program ini bukan sahaja menjadi platform mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi, malah membuktikan keupayaan rakyat negara ini dalam menghasilkan penyelesaian kreatif terhadap pelbagai cabaran semasa,” katanya.

Untuk rekod, MIIEX 2026 merupakan anjuran Kerajaan Negeri bersama UiTM Cawangan Melaka, di mana ia bakal membabitkan sebanyak lima kategori dan 17 anugerah.

Lima kategori itu adalah Inovasi, Rekacipta, Rekabentuk, Keusahawanan Digital dan Kategori Khas – Inclusive Digital Futures.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post HARI TANPA KENDERAAN ALOR GAJAH TERUS DAPAT SAMBUTAN
Next post PRN JOHOR DITETAPKAN 11 JULAI, NEGERI SEMBILAN PADA 1 OGOS – SPR