
LEBIH 1,300 WANITA MELAKA DAFTAR MAMMOGRAM PERCUMA
AYER KEROH 15 Jun – Lebih 1,300 golongan wanita di Melaka telah mendaftar untuk menjalani ujian mamogram secara percuma yang ditawarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka setakat Mei tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, menerusi program itu, tiga hospital swasta di Melaka telah dilantik sebagai hospital panel bagi memudahkan wanita mendapatkan akses kepada saringan kesihatan reproduktif yang disediakan.
“Daripada data yang diterima sejak Januari sehingga Mei lalu, seramai 1,318 wanita telah mendaftar untuk menjalani ujian mammogram dan angka ini menunjukkan ia mendapat permintaan amat menggalakkan berbanding pada permulaan 2017.
“Sasaran ditetapkan untuk pemeriksaan ini sebanyak 1,800 namun jika permintaan melebihi angka ditetapkan LPPKN Melaka akan meminta tambahan kuota.
“Peluang disediakan LPPKN ini wajar direbut oleh wanita di negeri ini kerana jika dilakukan sendiri di luar ia menelan kos RM100,” katanya kepada pemberita pada Festival Malam Kita 2026 @ KafeTEEN yang berlangsung di Pusat Keluarga LPPKN Melaka, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, festival itu telah disempurnakan Ketua Pengarah LPPKN Datuk Abdul Shukur Abdullah dan hadir sama Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat.
Menurut Kalsom, hebahan perkhidmatan mammogram percuma itu turut diperluaskan LPPKN menerusi siri penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selain boleh datang ke LPPKN Melaka untuk mendaftar, pendaftaran juga boleh dibuat di program WRUR, di mana individu boleh memilih tiga hospital panel iaitu Putra Specialist Hospital (PSH), Pantai Hospital Ayer Keroh dan Mahkota Medical Centre (MMC),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


