
KAD RAHMAH MEDIPULIH BANTU RINGANKAN KOS RAWATAN
KESIDANG 13 Jun – Inisiatif Kad Rahmah Bloom Mekar oleh Klinik MediPulih diperkenalkan bagi membantu golongan B40 dan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan pada kadar lebih berpatutan di klinik swasta tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, inisiatif itu telah dipromosikan secara meluas pada Hari Kesihatan Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang sebagai usaha menyebar luas akses kesihatan bermanfaat kepada rakyat.
Katanya, menerusi kad tersebut orang ramai layak menikmati potongan kos rawatan sehingga 20 ke 30 peratus di Klinik MediPulih, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan kesihatan khususnya bagi golongan memerlukan.
“Kad Rahmah Bloom Mekar oleh MediPulih ini memberi manfaat kepada golongan B40 dan warga emas kerana mereka boleh mendapatkan rawatan dengan kos yang lebih rendah berbanding kadar biasa.
“Sebagai contoh, pemegang kad boleh menikmati potongan RM20 bagi rawatan tertentu di klinik MediPulih yang mempunyai tiga cawangan di negeri ini iaitu di Batu Berendam, Ayer Keroh dan Ujong Pasir,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Hari Kesihatan sempena WRUR DUN Kesidang di Kompleks Japerun DUN Kesidang, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Allex berkata, pada Hari Kesihatan DUN Kesidang itu, MediPulih turut menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan percuma kepada masyarakat.
Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 200 penduduk hadir mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan sepanjang program tersebut.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma, malah memberi pendedahan mengenai pelbagai bantuan serta kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


