
WRUR KESIDANG: MEDIPULIH SUMBANG 40 KAD RAHMAH UNTUK B40
KESIDANG 14 Jun – Klinik MediPulih terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan agenda kesihatan komuniti apabila turut serta dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Menerusi Hari Kesihatan DUN Kesidang di Kompleks Japerun Kesidang, MediPulih tampil menyumbangkan Kad Rahmah Bloom Mekar kepada golongan memerlukan, selain turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma.
Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, penyertaan pihaknya dalam program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diakses dengan lebih mudah oleh masyarakat, khususnya golongan B40.
Menurut beliau, sebanyak 40 Kad Rahmah Bloom Mekar telah diserahkan kepada penerima terpilih sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan.
Jelas beliau, menerusi Kad Rahmah Bloom Mekar, orang ramai berpeluang menikmati diskaun rawatan 20 hingga 30 peratus di tiga Klinik MediPulih seluruh Negeri Melaka iaitu di Batu Berendam, Ayer Keroh dan Ujong Pasir.
“Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan dan bantuan kebajikan secara terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang mempunyai cawangan di Batu Berendam dalam kawasan DUN Kesidang, menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Selain penyerahan Kad Rahmah, MediPulih turut menyediakan pelbagai inisiatif kesihatan percuma kepada pengunjung termasuk pemeriksaan darah asas (Free Essential Blood Test Package), semakan kelayakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) serta saringan kesihatan pergigian percuma dengan kerjasama Team Tulen Dental.
Abuzar berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan awal kesihatan semakin meningkat.
Katanya, inisiatif seperti itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan tanpa kos, malah berperanan sebagai langkah pencegahan awal bagi mengesan risiko penyakit sebelum menjadi lebih serius.
“Ramai mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan maklumat berkaitan bantuan kesihatan yang disediakan kerajaan. Ini membuktikan program kesihatan berasaskan komuniti masih sangat diperlukan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut memuji pelaksanaan Program WRUR yang disifatkan sebagai medium berkesan dalam menghubungkan rakyat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan serta sektor swasta.
“WRUR bukan sekadar program turun padang, tetapi menjadi jambatan penting yang membolehkan perkhidmatan kesihatan, kebajikan dan bantuan sampai terus kepada kumpulan sasar.
“Pendekatan ini memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan dalam satu lokasi selain membantu meningkatkan tahap kesedaran kesihatan masyarakat,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


