Sorting by

×

SUNGAI MELAKA LOKASI PERTAMA LUAR CHINA PERKENAL BUDAYA PERAHU NAGA SHUANG RAO

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Sungai Melaka mencipta sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pertama di luar China diperkenalkan budaya Perahu Naga Shuang Rao kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan China.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan itu merupakan satu penghormatan besar kepada Melaka yang terkenal sebagai bandar warisan dunia serta pusat pertembungan pelbagai budaya sejak ratusan tahun lalu.

Katanya, Perahu Naga Shuang Rao merupakan warisan budaya unik dari bandar Yiyang, Wilayah Hunan yang diiktiraf sebagai projek wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Hunan pada tahun 2016.

“Lebih lima abad lalu Melaka terkenal di peta dunia sebagai pusat perdagangan dan pertembungan tamadun. Hari ini, Sungai Melaka terus menjadi nadi pelancongan, kebudayaan dan warisan yang menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia.

“Justeru, pemilihan Melaka sebagai lokasi pertama di luar China bagi memperkenalkan budaya Perahu Naga Shuang Rao merupakan satu penghormatan yang amat besar buat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perahu Naga Shuang Rao atau Perahu Persahabatan di Jeti Quayside, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran lebih 50 delegasi dari Wilayah Hunan yang hadir bagi meraikan kerjasama budaya bersejarah antara kedua-dua wilayah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bagi merealisasikan usaha memperkenalkan warisan budaya berkenaan, Persatuan Penyelidikan Budaya Perahu Naga Shuang Rao Daerah Heshan, Yiyang telah menghantar bahan kayu khas serta tenaga pakar dari China ke Melaka untuk membina sebuah perahu naga sepanjang 100 kaki.

Menurut beliau, hasil kerjasama itu berjaya melahirkan sebuah perahu naga yang unik dari segi reka bentuk serta nilai warisannya, sekali gus menjadi lambang kejayaan hubungan budaya yang semakin erat antara Melaka dan Hunan.

Tambah beliau, persembahan Perahu Naga Shuang Rao melibatkan seramai 101 pendayung, dengan 25 peratus peserta dari Hunan manakala selebihnya terdiri daripada peserta tempatan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Kadazan dan Iban.

“Gabungan pendayung rentas negara ini bukan sahaja mempamerkan keindahan warisan budaya Perahu Naga Shuang Rao, malah menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dari China yang menghadiahkan Perahu Naga Shuang Rao kepada Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka sebagai simbol persahabatan yang terus kukuh antara kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang kaum dan negara turut membuktikan bahawa warisan budaya mampu menjadi medium penyatuan masyarakat serta mengeratkan hubungan diplomatik dan persahabatan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1258
Kongsi :
Previous post WRUR KESIDANG: MEDIPULIH SUMBANG 40 KAD RAHMAH UNTUK B40