Sorting by

×

PLATFORM WRUR PERKASA PENYELESAIAN ISU RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SERKAM 30 Jun – Lebih 50 aduan diterima pada Hari Aduan Rakyat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menunjukkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap platform penyelesaian isu secara terus bersama kerajaan.

Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Hari Aduan Rakyat adalah antara pengisian utama WRUR yang memberi peluang kepada penduduk mengemukakan pelbagai isu secara terus.

Katanya, menerusi program itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meminta semua barisan Exco dan Timbalan Exco turun ke setiap DUN untuk menyantuni aduan rakyat dan berusaha menyelesaikannya dalam tempoh 14 hari.

“Sehingga jam 11.30 pagi sebanyak 53 aduan diterima dengan jumlah kedatangan pengunjung seramai 125 orang yang mana mereka mengemukakan pelbagai aduan termasuk permohonan.

“Menerusi platform ini kami cuba sebaiknya selesai pemasalahan yang diadukan bagaimanapun terdapat juga aduan yang memerlukan penglibatan kerajaan Persekutuan atau membabitkan proses yang lebih panjang, justeru ia memerlukan sedikit masa,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui pada Hari Aduan Rakyat DUN Serkam Sempena Program WRUR DUN Serkam yang berlangsung di Japerun Serkam, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan serta Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Fairul Nizam berkata, pelaksanaan WRUR yang kini memasuki siri ke-21 menerima maklum balas positif daripada rakyat apabila banyak aduan berjaya diselesaikan hasil kerjasama semua pihak.

“‘Roh’ WRUR adalah untuk kita mendengar sendiri suara rakyat, memahami permasalahan mereka dan memastikan tindakan dapat diambil dengan segera selainpendekatan ini membolehkan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu secara lebih berkesan.

“Penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat dan perkongsian
secara terus misalnya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil peluang turun padang menerusi WRUR bagi memberi penerangan mengenai skim serta bantuan yang disediakan ini memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif ditawarkan,” katanya.

Terdahulu, pada program sama juga Setiausaha Kerajaan Negeri turut menyempurnakan pelepasan Konvoi Ziarah Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post WRUR SERKAM: LEBIH 100 ADUAN RAKYAT AKAN DISELESAIKAN
Next post KARNIVAL MADANI SEMAI PERPADUAN SEJAK DI BANGKU SEKOLAH