Sorting by

×

KARNIVAL MADANI SEMAI PERPADUAN SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KESIDANG 30 Jun – Usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan menerusi penganjuran Karnival Madani, program yang menghimpunkan murid daripada pelbagai aliran sekolah dalam satu platform interaksi dan pembelajaran budaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, karnival tersebut diperkenalkan tahun lalu hasil cetusan idea ke arah memperkukuhkan hubungan antara kaum sejak di bangku sekolah.

Menurut beliau, program berkenaan melibatkan penyertaan murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sekitar Kesidang dan kawasan-kawasan berhampiran.

“Kita mahu anak-anak ini mengenali dan memahami budaya antara satu sama lain sejak kecil lagi. Apabila mereka bergaul, belajar dan bermain bersama, nilai perpaduan dapat dipupuk secara semula jadi tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Jelas Allex, menerusi penganjuran karnival itu, ia menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan, pendidikan dan warisan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, murid-murid diberi peluang mempersembahkan kebudayaan masing-masing selain memperkenalkan permainan tradisional dan makanan warisan yang menjadi identiti komuniti mereka.

“Mereka bukan sahaja membuat persembahan kebudayaan, malah dapat mempelajari permainan tradisional serta mengenali makanan tradisi kaum lain.

“Program ini memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan memahami keunikan budaya yang terdapat dalam masyarakat majmuk negara ini,” katanya.

Menurut Allex, sambutan yang diterima pada penganjuran pertama tahun lalu amat menggalakkan apabila murid-murid menunjukkan keterujaan untuk menyertai aktiviti yang disediakan.

Beliau berkata, suasana muhibah yang terhasil sepanjang program berlangsung membuktikan bahawa aktiviti berasaskan kebudayaan mampu menjadi medium berkesan dalam memperkukuhkan perpaduan.

“Kita dapat melihat sendiri bagaimana mereka berinteraksi, belajar dan bergembira bersama tanpa sebarang jurang. Ini membuktikan perpaduan boleh dipupuk dengan cara yang menyeronokkan dan dekat dengan jiwa kanak-kanak,” katanya.

Susulan kejayaan tersebut, beliau berkata Karnival Madani Kesidang diteruskan tahun ini sebagai kesinambungan kepada usaha membina masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu.

Tambah beliau, karnival itu bukan sekadar program hiburan atau kebudayaan semata-mata, tetapi merupakan usaha jangka panjang untuk membentuk generasi yang saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian yang ada di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post PLATFORM WRUR PERKASA PENYELESAIAN ISU RAKYAT
Next post 91.94 PERATUS RAKYAT MELAKA BERPUAS HATI DENGAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM