Sorting by

×

91.94 PERATUS RAKYAT MELAKA BERPUAS HATI DENGAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 30 Jun – Tahap kepuasan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam di Melaka pada 2025 amat membanggakan apabila mencapai 91.94 peratus, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Berkongsi kejayaan membanggakan itu Ketua Menteri berkata, peratusan direkodkan adalah petunjuk jelas bahawa mutu penyampaian perkhidmatan awam negeri juga memenuhi harapan rakyat.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja didorong oleh komitmen penjawat awam, malah diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang membawa perkhidmatan kerajaan terus ke kawasan-kawasan sasaran.

“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah semata-mata pada berapa banyak projek disiapkan atau berapa besar nilai pelaburan yang dibawa masuk. Ukuran paling bermakna ialah apabila rakyat sendiri mengatakan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan kerajaan.

“Alhamdulillah, hasil komitmen dan dedikasi luar biasa seluruh penjawat awam negeri, kadar kepuasan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam bagi tahun 2025 terus melonjak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka (MAPAN) Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri yang sentiasa menyokong dasar serta agenda pembangunan Kerajaan Negeri sepanjang tahun lalu sehingga berjaya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Tahniah saya ucapkan kepada 379 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 39 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP) bagi penilaian tahun 2025.

“Pengiktirafan ini menjadi suntikan motivasi kepada warga perkhidmatan awam untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post KARNIVAL MADANI SEMAI PERPADUAN SEJAK DI BANGKU SEKOLAH
Next post PUSAT PERANGINAN BAHARU BAWA LIMPAHAN EKONOMI KEPADA WARGA SERKAM