Sorting by

×

PUSAT PERANGINAN BAHARU BAWA LIMPAHAN EKONOMI KEPADA WARGA SERKAM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERKAM 30 Jun – Pembangunan sebuah pusat peranginan baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, projek tersebut merupakan antara perancangan pembangunan strategik bagi kawasan Umbai yang diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, kewujudan pusat peranginan itu itu turut dijangka memberi nilai tambah kepada kawasan tersebut apabila pembangunan lain akan dilaksanakan secara berperingkat bagi melengkapkan kemudahan kepada pengunjung.

“Projek ini sesuai untuk pembangunan kawasan hujung DUN Serkam. Dengan adanya resort ini, kita akan melihat perkembangan seterusnya bukan sahaja dari aspek peluang pekerjaan malah impaknya kepada ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Pusat Peranginan Maya Resort Umbai yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Pengarah Urusan Razimar (M) Sdn Bhd Datuk Shamsherudin Mohd Shariff serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, pembangunan pusat peranginan baharu itu dijangka akan membuka 200 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, di mana ia memberi satu nilai tambah baharu kepada DUN Serkam.

“Pembangunan ini juga akan melengkapkan tarikan sedia ada di kawasan Umbai yang sebelum ini terkenal sebagai sebagai lokasi tumpuan pengunjung menikmati makanan laut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post 91.94 PERATUS RAKYAT MELAKA BERPUAS HATI DENGAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM
Next post MELAKA SASAR 20 PENCAPAIAN MENJELANG AKHIR 2026