Sorting by

×

PENJUAL BUAH MAUT MOTOSIKAL TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER MOLEK 30 Jun – Seorang penjual buah maut selepas motosikal ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik di Jalan Tambak Paya berhampiran sebuah warung, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa Muhammad Daniel Mukhris Baharin, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Tambak Paya menghala ke arah Paya Dalam.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan kira-kira jam 8.30 pagi hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, siasatan di lokasi mendapati keadaan jalan adalah jalan lurus dua lorong dua hala dengan cuaca hujan renyai dan pencahayaan yang gelap ketika kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa terbabas sendiri. Tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diperoleh di lokasi dan polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR 20 PENCAPAIAN MENJELANG AKHIR 2026
Next post URUSAN DENGAN KERAJAAN JADI LEBIH MUDAH MENERUSI HARI ADUAN RAKYAT