Sorting by

×

‘SINGA’, ‘NAGA’ KINI SIMBOL PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KESIDANG 3 Julai – Tarian singa dan naga yang suatu ketika dahulu sinonim dengan kaum Cina kini telah menjadi simbol perpaduan apabila semakin ramai anak muda Melayu dan India menyertai persembahan kebudayaan itu.

Pengasas Persatuan Tarian Singa Dan Naga Gao Feng Negeri Melaka Datuk Yong Khen Chien berkata, jika sebelum ini majoriti peserta dan anak didiknya terdiri daripada kaum Cina namun perubahan yang berlaku membuktikan tarian singa dan naga semakin diterima sebagai aktiviti kebudayaan dan sukan yang merentasi batas kaum.

“Malah, ketika sambutan Tahun Baharu Cina boleh katakan kira-kira 90 peratus yang menyaksikan persembahan terdiri daripada orang Melayu dan ini menunjukkan tarian singa dan naga mampu menjadi medium perpaduan yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agong Persekutuan Tarian Naga Dan Singa Malaysia berkata, tarian singa dan naga kini diiktiraf sebagai satu cabang sukan oleh Majlis Olimpik Malaysia(MOM) serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan sekali gus membuka ruang lebih luas untuk pembangunan dan penglibatan masyarakat pelbagai latar belakang.

“Melaka memiliki rekod cemerlang dalam sukan ini apabila pernah muncul juara keseluruhan Kejohanan Tarian Naga dan Singa Kebangsaan pada 2018 di Kuala Lumpur selain turut mengungguli kejohanan peringkat dunia di Macau dan Taiwan pada tahun sama.

“Lebih membanggakan apabila kami turut meraih pingat emas pada Kejohanan Tarian Naga dan Singa Peringkat Asia pada 2019 apabila berjaya menyekat kehebatan China,” katanya.

Lebih mesra digelar Yong anak kelahiran Taman Asean itu berkata, persembahan itu turut memberi peluang kepada mereka yang kurang menyerlah dalam akademik untuk membuktikan kemampuan dan bakat masing-masing dalam platform berbeza.

“Kebanyakkan anak-anak yang sertai tarian ini mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan kami cuba bantu supaya menerusi platform ini ia memberi ruang kepada mereka menonjolkan kelebihan diri, membina keyakinan serta mengembangkan potensi dalam bidang kokurikulum.

“Pada masa ini pasukan kami sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Tarian Naga dan Singa Kebangsaan Ke-13 yang dijadual berlangsung di Melaka pada Oktober depan,” katanya.

Jelas beliau, selain pembabitan dalam persembahan tarian naga dan singa, anak muda berbangsa Melayu dan India di negeri ini juga turut aktif mewakili sukan wushu dalam kategori Sanda atau pertarungan tempur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post KERESAHAN DIAMI RUMAH UZUR BERAKHIR SELEPAS EMPAT DEKAD
Next post BERMULA GAJI RM150, KINI GURU JAIM BUKAN LAGI PENDIDIK ‘KELAS KEDUA’ – TOKOH GURU