
TOK RAUF ‘SPONSOR’ KENDURIAN MELAKA, 2,000 PENGUNJUNG PERTAMA CUMA BAYAR RM10
AYER KEROH 2 Julai – Orang Melaka menjadi 2,000 pengunjung pertama hadir ke Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 pada 5 Julai ini di Duta Riang Villa, Selandar cuma perlu membayar RM10 sahaja untuk menikmati durian premium jenis Musang King dan Block Thorn.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, diskaun itu adalah hasil daripada kemurahan hati Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang bersetuju untuk membayar RM15 daripada harga asal ditawarkan iaitu RM25.
“Dalam perjalanan tadi saya dihubungi oleh Ketua Menteri yang berkongsi berita gembira ini, beliau mahu meraikan dan belanja orang Melaka untuk makan durian premium jenis Musang King dan Block Thorn pada hari berkenaan. Tetapi terhad kepada 2,000 pengujung pertama, kalau sudah masuk 2,001 perlu bayar harga asal.
“Tetapi jangan risau mungkin ada pengumuman lain daripada Ketua Menteri kerana beliau juga akan hadir untuk bersama-sama makan durian pada hari berkenaan. Mengenali Ketua Menteri beliau ini penuh dengan kejutan untuk orang Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di konti MelakaFM bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka Rosli Azizi Talib, hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, orang ramai termasuk luar dari Melaka dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan program itu nanti dan kanak-kanak usia bawah 12 tahun adalah percuma.
“Masa diperuntukan untuk satu kepala cuma 20 minit, pada awalnya saya juga rasa amat singkat tetapi. Jadi saya sendiri cuba untuk makan durian dalam tempoh itu dan berjaya habiskan sembilan ulas sahaja, jadi 20 minit itu sudah memadai.
“Selain makan durian dalam kebun pengunjung juga disajikan dengan persembahan tradisional daripada Briged Seni, ada juga jualan ‘Foodtruck’ dan ibu bapa boleh bawa anak-anak melawat ‘petting zoo’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


