
MELAKA LAKSANA HUKUMAN TEGAS BAGI KES JENAYAH SYARIAH
PENGKALAN BATU 3 Julai – Pesalah jenayah syariah di Negeri Melaka bakal berdepan hukuman lebih tegas menerusi penguatkuasaan semua bentuk hukuman tanpa kompromi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu dilaksanakan Mahkamah Syariah Negeri Melaka, termauk memperluaskan hukuman Perintah Kehadiran Wajib.
Jelas beliau, Perintah Kehadiran Wajib menjadi antara hukuman alternatif yang dikenakan bagi kes-kes jenayah syariah yang terpilih.
“Pelaksanaan tegas ini bertujuan memberi pengajaran dan memulihkan pesalah melalui khidmat komuniti dan mengekalkan keharmonian masyarakat.
“Perintah Kehadiran Wajib membuktikan institusi Mahkamah Syariah sentiasa dinamik dan selaras dengan arus perkembangan sistem keadilan jenayah Islam di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil. 2 / 2026 anjuran MAIM Holdings Berhad di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIM Holdings Berhad Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka Azzeman Omar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Mohd Sori; Pengurus MAIM Bentara Security Sdn Bhd Datuk Shafrie Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM memaklumkan, Mahkamah Syariah Negeri Melaka bakal menganjurkan Program Mahabbah Syariah atau Hari Bertemu Pelanggan pada 20 Ogos depan.
Jelas beliau, program itu bertujuan merakyatkan atau merapatkan jurang komunikasi dan membina kepercayaan antara organisasi dan agensi dengan masyarakat setempat.
“Saya berharap menerusi program ini, ia dapat menonjolkan pendekatan mesra rakyat dan menunjukkan komitmen organisasi yang telus, prihatin dan sedia berkhidmat demi kebajikan masyarakat,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


