
MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM HALAL, LAHIR AUDITOR KOMPETEN
PENGKALAN BATU 3 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) komited untuk melahirkan lebih ramai pegawai pemeriksaan halal yang diperakui bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat global.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha itu kini di landasan positif apabila beberapa pegawai dari Bahagian Pengurusan Halal JAIM telah menerima Sijil Competent Halal Auditor daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana telah memenuhi kualiti dan piawaian ditetapkan.
Ujar beliau, ketika ini, JAKIM sedang memperkukuh pelaksanaan standard ISO/IEC 17065 ke seluruh jabatan agama Islam negeri di Malaysia, di mana ia merupakan satu langkah strategik memastikan pelaksanaan pensijilan halal peringkat negeri adalah seragam, telus dan kompeten mematuhi standard JAKIM dan antarabangsa.
“Sehubungan itu, setiap pegawai yang bertugas dalam pengurusan halal perlu mempunyai kompetensi yang diiktiraf, meliputi keseluruhan rantaian proses pensijilan halal, termasuk audit dan pemeriksaan halal.
“Juteru, penerimaan Sijil Competent Halal Auditor ini membuktikan bahawa pegawai JAIM sentiasa bersedia menyahut aspirasi dalam memperkukuh ekosistem pensijilan halal Malaysia.
“JAIM juga komited untuk memastikan semua pegawai pemeriksa halal di Bahagian Pengurusan Halal mendapat pengiktirafan kompetensi sewajarnya, bukan sahaja daripada JAIM bahkan selaras dengan keperluan badan pensijilan halal luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil. 2 / 2026 anjuran MAIM Holdings Berhad di Auditorium Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIM Holdings Berhad Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka Azzeman Omar dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Mohd Sori; Pengurus MAIM Bentara Security Sdn Bhd Datuk Shafrie Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pengiktirafan kompetensi yang diterima oleh pegawai-pegawai JAIM amat penting kerana ia bukan sahaja memperkukuh kredibiliti pegawai, meningkatkan keyakinan industri, bahkan mampu mengangkat Melaka sebagai sebuah negeri mengamalkan tadbir urus halal bertaraf antarabangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


