Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI TERUS PERKASA WARISAN KULINARI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 4 Julai – Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 yang dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara, mempromosi, sekali gus mengangkat warisan kulinari Melaka sebagai antara produk pelancongan yang menjadi kebanggaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival berkenaan adalah salah satu daripada 220 acara dalam Kalendar Pelancongan Melaka dan kini memasuki edisi ke-16 sejak diperkenalkan.

“Festival pada kali ini dimeriahkan dengan penyertaan lebih 50 gerai yang melibatkan muzium-muzium negeri, pengusaha makanan tradisional, institusi pengajian tinggi serta usahawan tempatan.

“Pada masa yang sama, penyertaan tujuh etnik utama turut menyerlahkan kepelbagaian warisan kulinari, budaya dan kraftangan yang menjadi identiti negeri Melaka.

“Festival ini bukan sekadar menjadi ruang pameran atau jualan, tetapi medan untuk masyarakat menikmati pelbagai juadah tradisional yang diwarisi turun-temurun, disamping menghayati keindahan budaya, permainan tradisional, seni persembahan, kraftangan serta pelbagai elemen warisan sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka dan Melaka Heritage Festival 2026 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad.

Menurut Ketua Menteri, istimewanya lagi, tahun ini merupakan julung kalinya Festival Masakan Warisan Melaka digabungkan dengan Melaka Heritage Festival sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

Gabungan ini bukan sekadar menyemarakkan sambutan, malah mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk mengetengahkan warisan Melaka secara lebih menyeluruh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

907
Kongsi :
Previous post MPAG DIDIK MASYARAKAT JAGA KEBERSIHAN, HINDAR GANGGUAN LALAT
Next post 220 ACARA MENARIK SEPANJANG TAHUN GAMIT PELANCONG KE MELAKA