Sorting by

×

RUMAH NGAJI, KOMUNITI NELAYAN TERIMA LIMPAHAN NIKMAT JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat edisi sulung yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai membuktikan ia benar-benar memberi manfaat besar kepada rakyat.

Ia apabila komuniti di kawasan itu menerima limpahan nikmat hasil daripada inisiatif turun padang Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ab Rauf, menerusi siri jelajah itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan kerusi dan meja serta dana tunai kepada lapan buah kelas pengajian al-Quran di Sungai Rambai.

“Sumbangan ini merupakan lambangan sebagai sokongan kepada usaha menghidupkan ilmu dan syiar Islam di peringkat komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 sempena Program WRUR Jasin: Kampung Kita di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Pada masa sama, ujar beliau, komuniti nelayan di Sebatu turut menerima impak apabila aduan dan keluhan mengenai isu banjir di kawasan itu mendapat perhatian segera agensi dan jabatan kerajaan.

Ujar beliau, ia apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka telah mengenal pasti keperluan untuk menaik taraf pintu air lama di kawasan tersebut dengan kos berjumlah RM200,000 dan kini telah pun mengusulkan permohonan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan.

“Bukan itu sahaja, kerja-kerja pengaliran saluran keluar Sungai Sebatu sepanjang 300 meter yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM350,000 juga sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir.

“Inilah tujuan kita turun ke lapangan. Bukan sekadar melihat satu isu, tetapi memahami realiti kehidupan rakyat secara menyeluruh. Daripada keperluan komuniti dan keselamatan kawasan, hinggalah kepada sumber rezeki serta potensi ekonomi yang boleh kita bangunkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post WRUR BUKAN NOKTAH KHIDMAT KERAJAAN KEPADA RAKYAT
Next post 4,000 NIKMATI BUFET DURIAN PREMIUM, ‘KENDURIAN’ MELAKA BAKAL JADI ACARA TAHUNAN