
4,000 NIKMATI BUFET DURIAN PREMIUM, ‘KENDURIAN’ MELAKA BAKAL JADI ACARA TAHUNAN
ASAHAN 5 Julai – Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ bakal dijadikan acara tahunan selepas sambutan luar biasa diterima apabila hampir 4,000 pengunjung membanjiri Duta Riang Villa, Selandar bagi menikmati pelbagai varieti durian premium pada harga mampu milik.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan program itu membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri berkongsi rezeki mendapat sambutan amat menggalakkan.
Beliau berkata, melihat kepada sambutan diterima Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberi komitmen untuk memastikan festival seumpamanya diteruskan pada tahun hadapan dengan pengisian lebih baik dan menarik.
“Kita menerima maklum balas yang amat positif bukan sahaja dari rakyat Melaka tetapi juga pengunjung dari luar negeri serta luar negara yang hadir untuk sama-sama memeriahkan ‘Kendurian’ ini.
“Selagi mana kami berada di sini, Insya-Allah Festival Kendurian ini akan dijadikan acara tahunan kerana Ketua Menteri mahu berkongsi rezeki bersama.
“Ini kerana ada di antara yang datang memberitahu bahawa mereka sebelum ini tidak pernah makan durian Musang King dan Black Thorn disebabkan harganya yang mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 yang turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri di Duta Riang Villa, Selandar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, kira-kira 13 tan durian disediakan khusus untuk festival itu dengan tawaran tawaran harga serendah RM10 sorang sahaja.
“Istimewanya bufet durian ini harga yang ditawarkan adalah RM25 untuk rakyat Melaka, namun Ketua Menteri sudi berkongsi rezeki apabila pengunjung hanya perlu membayar RM10 sahaja.
“Meskipun pada awalnya tawaran bufet durian berharga RM10 hanya diperuntukkan kepada 2,000 pengunjung terawal tetapi Ketua Menteri kemudiannya berbesar hati meneruskan tawaran tersebut kepada semua pengunjung yang hadir sehingga bekalan durian habis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


